Sunday, June 28, 2009

PPSMI: Gapena buat laporan polis

Jimadie Shah Othman Feb 15, 09 4:22pm
Badan penaung kepada persatuan penulis seluruh Malaysia, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) hari ini membuat laporan polis berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Diiringi kira-kira 20 tokoh bahasa, Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussin membuat laporan tersebut tengahari ini di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur. Mereka pada mulanya merancang membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang (IPD) Wangi tetapi rancangan itu ditukar di saat akhir. Dalam laporan polis itu, Ismail mendakwa pelaksanaan PPSMI "tidak sah di sudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan". Menurut laporan berkenaan, Perkara 152(1) meperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi "maksud rasmi") atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain. "Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori "maksud rasmi". "Berasaskan kepada kehendak perkara 152(1) & 6 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 17(1) Akta 550 (Akta Pendidikan 1996), adalah wajib bagi semua mata pelajaran yang diajar di semua sekolah menggunakan bahasa Melayu," laporan polis itu dipetik. Proses pertama GapenaIsmail juga mendakwa pelaksanaan dasar itu akan "membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang". Beliau ditemani setiausaha 1 Gapena Dr Zainal Abidin Borhan, Ketua 1 Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baharuddin Zainal dan penulis Rejab Ismail, ketika membuat laporan tersebut. Bercakap dalam sidang media ringkas selepas membuat laporan tersebut, Ismail berkata laporan tersebut merupakan proses pertama Gapena menggunakan saluran itu. Ismail juga berkata, badan-badan gabungannya di seluruh Malaysia, akan membuat laporan yang sama berhubung pelaksanaan dasar itu di tempat masing-masing.
Beliau turut ditanya mengenai rancangan Gapena untuk mengadakan perarakan keranda - dinamakan Keranda 152 - pada hari ini (15 Februari) yang tidak menjadi kenyataan.
"Waktu kita bincang, macam-macam rancanganlah timbul. Hendak buat macam itu perlu minta izin," jelasnya. Hari ini, Gapena mengadakan program khas bagi menyatakan bantahan mereka terhadap PPSMI melalui bacaan sajak dan pidato tokoh dan aktivis bahasa - dinamakan "Ratap Ratib Bahasa". 'Hak bahasa dan orang Melayu'Bekas pengerusi Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan beberapa pemimpin Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) - sebuah lagi badan yang memperjuangkan pemansuhan PPSMI - turut kelihatan, termasuk pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad. Abdul Aziz sebelum itu dalam ucapannya di pejabat Gapena di ibunegara berkata, hak-hak berhubung bahasa dan kedudukan orang Melayu telah pun wujud sejak zaman penjajahan British lagi. Perkara itu, kata beliau lagi, kemudiannya dimasukkan kembali ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Menyentuh soal peluang Gapena membawa isu PPSMI ke mahkamah, Abdul Aziz berkata, dari aspek undang-undang, Gapena mempunya hujah yang kukuh untuk menuntut semakan kehakiman. "Bagaimanapun, saya bimbang kuasa menteri boleh menukar mata pelajaran Sains dan Matematik supaya tidak lagi menjadi matapelajaran teras. Menteri ada kuasa itu. (Kalau) itu (berlaku) maknanya, orang politiklah yang kena beritahu (menteri)," katanya menjawab soalan Baharuddin dalam majlis itu. Abdul Aziz yang juga pengamal undang-undang menjelaskan, sesiapa sahaja sebagai warganegara Malaysia boleh membawa perkara itu ke mahkamah. "Gapena sebagai persatuan tidak (boleh). Gapena hanya sebagai penaja, nama sahaja. Sebagai entiti yang sah, ahli-ahlinya boleh bertindak," katanya. Kira-kira 100 aktivis bahasa dan sastera hadir dalam majlis tersebut yang bermula sejak jam 9 pagi tadi.

Sumber Malaysiakini.com

Gapena menentang PPSMI

Gabungan Penulis Nasional (Gapena) tetap dengan pendiriannya untuk memansuhkan PPSMI di semua peringkat pengajian serta menuntut dikembalikan pengajaran bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan nasional

MB: Laksana PPSMI 'tidak beretika'

Jimadie Shah Othman Jun 27, 09 1:03pm
Tidak wajar sesuatu dasar pendidikan negara – seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) – diputuskan berasaskan emosi dan persepsi, tanpa kajian dan perancangan rapi, kata menteri besar Johor.

"Adalah salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya," kata Datuk Abdul Ghani Othman.

"Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang membentuk dasar pendidikannya secara mendadak, tanpa memikirkan kepentingan murid dan kesediaan guru, melainkan Malaysia."

Abdul Ghani, juga pengerusi Permuafakan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), mengulas dasar kontroversi tersebut sewaktu merasmikan kolokium mengenai PPSMI anjuran NGO itu di Shah Alam pagi tadi.

Ucapan ringkasnya itu dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Pembina, Datuk Abdul Raof Hussin.

Turut hadir, Prof Diraja Ungku Aziz dan seniman Datuk Jins Samsudin.

Abdul Ghani juga berkata, Pembina berpendirian bahawa sebarang perubahan dasar pendidikan mestilah dibuat berdasarkan perancangan rapi, tidak secara tiba-tiba, serta berlandaskan fakta dan data yang sah.

Tambahnya, kajian badan tersebut – yang disokong ahli akademik dari tujuh universiti awam – mendapati PPSMI menyebabkan berlakunya "kepupusan generasi akibat bertambah ramai murid gagal (dalam matapelajaran) Sains dan Matematik" di pelbagai peringkat.

Sementara Ungku Aziz dalam ucapannya selepas itu menyifatkan masalah dalam sistem pendidikan berlaku disebabkan terlalu banyak kompromi pemimpin politik.

"Banyak pemimpin politik luar dan dalam kabinet tentu hendak mencari kompromi. Orang politik suka berkompromi. Bila banyak komporomi, dia tidak boleh berpikir dengan rasional.

"Tambahan lagi, orang politik hendak cepat. Bagi saya, jalan singkat tidak ada," katanya yang kerap bercerita dan berjenaka dalam ucapannya.

Ungku Aziz menegaskan, tindakan kerajaan memperkenalkan PPSMI enam tahun lalu sebagai "tindakan gila" kerana Matematik menggunakan "bahasa simbol" – melalui angka, nombor dan penggunaan rumus tertentu.

"Apa bahasa matematik? Bahasa simbolik, angka, semua simbol. Matematik ini bahasa simbolik. Kalau guna bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, pilih bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, (itu tindakan) gila.

"Kalau hendak belajar bahasa Inggeris dengan bahasa matematik, bagaimana boleh belajar?" katanya di hadapan 150 pendidik sekitar Selangor.

Selain menyokong saranan Pembina supaya PPSMI dimansuhkan di semua peringkat, Ungku Aziz mencadangkan masa pengajaran bahasa diajar secara tetap tiga hingga empat jam seminggu, selain menggunakan kaedah pembelajaran terkini.

"Masa untuk belajar bahasa tidak cukup. Itu kunci kepada semua sekali, perkara pokok sekali. Dalam sistem pembelajaran di sekolah rendah, menengah dan universiti, masa untuk belajar bahasa itu diberi sedikit sahaja.

"Pendekatannya pun salah. Banyak orang (pemegang) PhD bawa teori lapuk sepuluh tahun lalu. Dia lupa, apa dia belajar dulu orang lain sudah tukar (hari ini)," katanya.

Pembina pertama kali mengedarkan dan membentangkan kajian PPSMI mereka kepada umum hari ini. Dokumen itu pernah diedarkan kepada peserta Kongres Melayu ke-2 penghujung Mac lalu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur.

Selain laporan itu setebal 200 halaman, dua lagi kajian berhubung pelaksanaan dasar kontroversi itu yang dihasilkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) turut dibentangkan.

Sumber : Malaysiakini.com

Sunday, March 22, 2009

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS 2

By
Dr. Mahathir Mohamad on March 20, 2009 6:45 PM
  1. Saya ingin jelaskan sekali lagi kenapa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Inggeris.
  2. Tidak seperti matapelajaran lain, sains dan matematik adalah ilmu yang berkembang dan bertambah sepanjang masa.
  3. Tiap hari berpuluh kertas melapurkan hasil kaji selidik yang dibuat di seluruh dunia. Hampir semua kertas ini disediakan dalam bahasa Inggeris.
  4. Kita boleh terjemah sains rendah kedalam bahasa kebangsaan. Tetapi ini tidak akan menolong kita memahami teori dan aplikasi advanced science dalam ciptaan dan pembuatan barangan yang canggih seperti alat telefon, senjata moden, roket dan stesyen satelit angkasa, pesawat terbang perang dan penumpang, kapal selam, laser, microcip dan ratusan lagi barangan kegunaan tertentu dan harian.
  5. Untuk semua ini kita perlu sains yang canggih dan terkini hasil kajiselidik pakar ilmu sains seperti Albert Einstein dengan teori relativitinya, Enrico Fermi, Oppenheimer, Edward Teller, Werner Heisenberg dan lain-lain.
  6. Saya boleh senarai seribu nama lagi dan berpuluh ribu hasil penerokaan, pengkajian mereka yang tidak terdapat dalam bahasa Melayu namun ilmu ini peting untuk kemajuan kita.
  7. Untuk memahami tulisan mereka dalam bahasa Inggeris kita memerlu kelulusan Phd dalam bahasa Inggeris dalam bidang-bidang khusus. Tidak ramai saintis yang belajar dalam bahasa Melayu yang boleh mengguna bahasa Melayu untuk tujuan ini. Setahu saya tidak ada banyak buku berkenaan tajuk-tajuk ini dalam bahasa Melayu.8. Pengajaran sains perubatan menggunakan buku Inggeris walaupun syarahan dibuat dalam bahasa Melayu. Untuk post-graduate studies dalam pelbagai kepakaran perubatan bahasa Inggeris digunakan. Kalau ada pensyarah yang boleh bersyarah dalam bahasa Melayu dalam bidang-bidang pakar ini, mereka akan terdiri daripada yang belajar kepakaran ini dalam bahasa Inggeris.
  8. Mungkin ada yang belajar sains di peringkat rendah dalam bahasa Melayu dan mampu mengikuti syarahan dalam bahasa Inggeris diperingkat ijazah pertama. Tetapi untuk kelulusan yang lebih tinggi penguasaan bahasa Inggeris di perlukan.
  9. Sudah tentu untuk ambil bahagian dalam seminar dan konferens antarabangsa, untuk berhujah, bahasa Inggeris di perlukan.
  10. I was not ignorant for 20 years. Even after I realised the usefulness of English I had to wait until people also realised it. Otherwise they will fight tooth and nail to prevent the change from taking place. Even now they are fighting.
  11. Singapore has progressed like a rocket because they have no opposition parties. Without criticisms by the opposition they will not know if they were doing something right or wrong.
  12. Now Singapore is in deep recession because of having made investments in America. So they may use English for their education but they can still go wrong. But we want to use English only for science and mathematics and these two subjects are based on truths and logic - not on how clever you are in making decisions or explaining things.
  13. I think in English when I want to speak or write in English. I think in Malay when I want to talk, write or discuss in Malay.
  14. I am a Malay not because of the language I use when thinking or dreaming. I am Malay because ethnically, lingually, culturally and religiously I am a Malay and I regard Malaysia as my homeland.
  15. Saya tidak ingin bangsa saya ketinggalan hanya kerana nasionalisme kita terhad kepada kefasihan bercakap dalam bahasa sendiri. Nasionalisme saya meliputi kejayaan bangsa saya yang setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Jika untuk ini kita terpaksa menguasai bahasa Inggeris dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, sepertimana orang Arab belajar bahasa Greek untuk mendapat ilmu orang Greek, sepertimana orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab untuk mempelajari ilmu orang Arab pada kurun ke-15 Masihi, saya rela berbuat demikian.
  16. Bagi saya mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tidak berbeza daripada menghantar penuntut kita ke Eropah atau negara-negara Arab untuk menuntut ilmu tertentu dalam bahasa-bahasa mereka. Mereka pergi sebagai orang Melayu dan mereka kembali dengan ilmu yang diperolehi juga sebagai orang Melayu. Mereka tidak menjejaskan ke-Melayuan bangsa. Sebaliknya mereka mempertinggikan maruah dan martabat bangsa.

Tuesday, March 17, 2009

PPSMI bukan isu kecil - Teras

Bashir Ishak Tue Mar 17, 09 2:00:36 pm MYT
ALOR SETAR, 17 Mac (Hrkh) - Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid mengingatkan kerajaan yang memerintah bahawa isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukannya satu perkara kecil.
Iklan



Berucap dalam program "Gema Rakyat - Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur" di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di sini malam tadi, beliau menyifatkan isu perjuangan memartabatkan kembali Bahasa Melayu adalah sama juga dengan memperjuangkan Islam.
"Di dunia ini hanya ada dua bahasa yang diiktiraf penggunaannya dalam Islam iaitu bahasa Arab dan Bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu telah berkembang dengan banyak menggunakan perkataan-perkataan Arab," katanya.
Menyentuh tentang himpunan rakyat membantah PPSMI 7 Mac lalu, beliau melahirkan rasa kesalnya dengan sikap pihak berkuasa yang bertindak ke atas peserta himpunan tersebut.
"Kita berarak bukan untuk membuat kekasaran, tapi untuk menyatakan kasihnya kita kepada bahasa.
"Ingatlah kerajaan yang memerintah, bahawa apa yang dibuat mereka terhadap nasib Bahasa Melayu ini akan dihukum oleh rakyat melalui "Bahasa Undi"," katanya.
Program tersebut yang dianjurkan oleh Teras dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah turut dihadiri oleh Sasterawan Negara, Dato' A.Samad Said dan dihadiri sekitar seribu orang. - mns_

Friday, March 13, 2009

Pemimpin perlu atasi masalah PPSMI - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 13 Mac - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk mengatasi masalah yang wujud dalam pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau berkata, masalah seperti soal kelemahan guru dalam menguasai bahasa Inggeris itu sendiri sebenarnya boleh diatasi sekiranya kepimpinan kerajaan dapat mengkaji dan meneliti perkara tersebut.
''Apa pun apa yang kita nak mula, akan ada masalah, maka tugas pemimpin ialah untuk atasi masalah itu.
''Kalau kita kata guru tak tahu bahasa Inggeris, kita boleh ajar guru untuk faham bahasa Inggeris dan zaman ini guna perisian komputer, amat mudah malah dia bukan sahaja boleh mengajar tetapi belajar bersama murid.
''Takkanlah guru kita ini sampai tak boleh belajar bahasa. Saya bukan orang putih, orang Melayu, tapi boleh juga cakap orang putih,'' katanya pada sidang akhbar mengumumkan perasmian bangunan Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (Sahoca) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Sahoca, Datuk Syed Abdul Jabbar Shahabudin.
Bangunan yang terletak di Kelana Jaya itu bakal dirasmikan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 20 Mac ini.
Sehubungan itu, Dr. Mahathir menegaskan dasar PPSMI perlu diteruskan kerana dasar tersebut yang dimulakan ketika era pentadbirannya bukan bertujuan untuk mempelajari bahasa tetapi mempelajari bahasa untuk menguasai cabang ilmu.
Katanya, sains adalah subjek yang tidak statik kerana ia berkembang hampir setiap jam dengan ratusan kertas kajian dalam ilmu sains diterbitkan dalam tempoh itu dan untuk mencari orang bagi menterjemah daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu adalah mustahil.
''Kalau kita dapat kuasai bahasa kertas itu ditulis maka kita boleh akses ilmu kajian itu secara langsung. Kita nak lihat rakyat Malaysia yang berilmu, bukan sekadar boleh bercakap bahasa kebangsaan.
''Islam gesa umatnya menuntut ilmu dan orang Arab dahulu belajar bahasa Greek untuk mendapatkan ilmu daripada orang Greek dan begitu juga orang Eropah belajar bahasa Arab untuk dapatkan ilmu daripada orang Arab pada abad ke-15.
''Jadi kalau kita mahu kuasai ilmu yang ada pada orang lain maka kita kena belajar bahasa mereka. Kita mahu lihat rakyat Malaysia yang berilmu bukan setakat boleh berbahasa kebangsaan.
''Hari ini kita kena akui siapa belajar perubatan akan menggunakan buku teks dalam bahasa Inggeris, tiada buku teks dalam bahasa Melayu,'' ujarnya.
Justeru, Dr. Mahathir menegaskan, semua pihak di negara ini sama ada suka atau tidak, harus mengakui yang bahasa Inggeris adalah bahasa lingua franca dunia hari ini.
Kata beliau, ini dapat dilihat bagaimana kerajaan China sendiri mahukan 200 juta rakyatnya boleh menguasai bahasa Inggeris dan begitu juga Korea yang mahukan semua rakyatnya menguasai bahasa tersebut untuk berinteraksi dengan dunia luar.
''Saya sendiri belajar sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dari zaman persekolahan sehinggalah ke peringkat universiti tetapi saya masih boleh cakap bahasa Melayu.
''Saya sendiri masih anggap diri saya seorang nasionalis Melayu. Saya tidak pun jadi nasionalis Inggeris hanya kerana saya boleh bercakap bahasa Inggeris,'' ujarnya.
Ditanya mengenai mereka yang menentang dasar PPSMI itu, Dr. Mahathir berkata, kebanyakan mereka adalah terdiri daripada golongan yang mendapat pendidikan dalam bahasa Inggeris.
''Mereka yang menentang dasar ini sebenarnya juga adalah mereka yang mendapat pendidikan dalam bahasa Inggeris.
''Mereka macam tak ingin melihat orang lain dapat apa yang kita dapat, itu tak baik,'' katanya.

Petikan : Utusan Online

Thursday, March 12, 2009

Calon SPM jawab Sains, Matematik dalam Bahasa Inggeris memberangsangkan

12/03/2009 3:27pm
PUTRAJAYA 12 Mac — Lebih ramai calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 menjawab kertas soalan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan ini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom.
Beliau berkata malah ramai calon SPM yang menjawab dalam Bahasa Inggeris bagi soalan-soalan subjektif dalam kedua-dua mata pelajaran itu.
“Misalnya mata pelajaran Matematik Tambahan kertas satu daripada 178,751 pelajar yang mengambil kertas itu seramai 89.1 peratus daripadanya menjawab dalam Bahasa Inggeris berbanding 4.7 peratus dalam Bahasa Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 di sini hari ini.
Selain itu daripada 183,723 pelajar yang mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan kertas 2, 86.2 peratus menjawab dalam Bahasa Inggeris berbanding 6.9 peratus dalam Bahasa Malaysia.
Alimuddin berkata peratus yang tinggi juga dicatatkan bagi mata pelajaran Biologi kertas dua dan tiga; Kimia kertas dua dan tiga serta Matematik kertas dua. - Bernama

Petikan : Utusan Online

Tuesday, March 10, 2009

Bukan Isu Bahasa Melayu VS Bahasa Inggeris

Prof Diraja Ungku Aziz telah dipetik berkata dalam siaran semasa @ TV1 jam 9.45 malam , 8 Mac 2009 ."Bukanlah isu Bahasa Melayu melawan Bahasa Inggeris". Beliau hanya mahu Bahasa Melayu terus menjadi bahasa utama dalam pembelajaran. Bahasa inggeris pula terus diajar dan diperkemaskan sehingga ia boleh dikuasai oleh ramai pelajar dan mahasiswa. Beliau juga menegaskan Bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan. Alat perpaduan yang penting.

Agenda di sebalik isu PPSMI

Oleh ZULKIFLEE BAKARpengarang@utusan.com.my
JANGAN dipolitikkan isu pendidikan anak-anak kita. - GAMBAR HIASAN
Pada Sabtu lalu, sekumpulan manusia yang kesemuanya beragama Islam berkumpul di pekarangan Masjid Negara. Kehadiran mereka bukanlah bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan semalam atau berarak sambil berselawat bagi memuji junjungan besar tersebut.
Sebaliknya perkumpulan mereka di kawasan yang seharusnya menjadi tempat penyatuan umat Islam itu diselimuti perasaan benci dan marah, malah ketika berarak menuju ke Istana Negara terdengar kata makian dan cacian dilemparkan.
Demikian senario di ibu negara pada Sabtu lalu, apabila sekelompok orang Melayu yang kononnya mendakwa mencintai dan membela bahasa Melayu berarak menentang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Adalah sesuatu yang janggal apabila penentangan dilakukan selepas enam tahun ia dilaksanakan. Mereka tidak berkata apa-apa dan jauh sekali berarak pada tahun 2003 apabila ia mula diperkenalkan. Mereka takut kerana ketika itu Barisan Nasional (BN) dan UMNO berada dalam kedudukan yang cukup kuat.
Justeru kalau mereka turun melakukan demonstrasi apatah lagi dengan ketegasan pucuk pimpinan negara ketika itu sudah pasti mereka akan merasa bahananya. Tetapi kini mereka tahu BN tidak kuat dan UMNO semakin lemah, oleh itu semua isu termasuklah PPSMI dipolitikkan.
Apa yang menghairankan adalah sikap Pas yang kini semakin pandai turun ke jalanan untuk membantah sesuatu isu. Perubahan yang berlaku kepada Pas adalah sejak mereka bersekongkol dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Adalah sesuatu yang aneh apabila pemimpin-pemimpin Pas mempunyai semangat yang begitu tinggi dalam isu PPSMI sedangkan sebelum ini jika ada perkara berkaitan kepentingan hak-hak Melayu, ada pemimpin Pas berkata mereka memperjuangkan Islam.
Ternyata sekali Pas semakin terperangkap dengan permainan politik PKR. Parti itu tidak sedar atau sengaja melupakan bahawa PKR hakikatnya sedang 'memperkudakan' Pas untuk melaksanakan satu demi satu agenda politik mereka.
Turun ke jalanan membuat tuntutan bukanlah perangai Pas tetapi perangai buruk PKR tetapi kenapa Pas boleh terikut-ikut seperti mana yang berlaku pada Sabtu lalu.
Atas sebab itulah, kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa demonstrasi pada Sabtu lalu didalangi oleh pembangkang tidak boleh dinafikan. Bukan sahaja pemimpin mereka hadir malah ribuan penyokong mereka juga turut menyertainya.
Apa yang malangnya, pemimpin-pemimpin yang kononnya selama ini memperjuangkan Islam - sebuah agama yang cukup mencintai keamanan dan kedamaian - membiarkan sahaja penyokong mereka bertempur dengan pihak polis (yang sudah pastinya majoritinya orang Melayu dan Islam).
Kalau mereka benar-benar memperjuangkan Islam, mereka akan berusaha mengelakkan konfrantasi, apatah lagi dengan pihak berkuasa.
Pihak polis sudah mengarahkan jangan berarak tetapi perintah itu diingkari. Semua ini dengan jelas membuktikan dari semasa ke semasa, telatah pemimpin dan penyokong pembangkang dalam berhadapan pihak polis semakin samseng dan ganas.
Namun kekecohan dalam isu PPSMI itu tidak harus dilihat dari segi permukaan sahaja, sebaliknya orang Melayu perlu melihat secara halus kenapa dari semasa ke semasa, ada sahaja isu yang dipolitikkan.
Lebih malang lagi dalam isu PPSMI, kemuliaan institusi istana mahu diseret sama oleh pembangkang dan kalau nanti pendirian Istana tidak menyebelahi mereka maka jadilah apa yang berlaku di Perak, akhirnya istana akan dimaki-hamun. Sebenarnya inilah tujuan puak-puak yang berarak itu.
Kesudahannya semua institusi berkaitan orang Melayu semakin dilemahkan dan perkara ini diakui oleh Hishammuddin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam satu SMS kepada penulis, kelmarin.
Antara lain Hishammuddin berkata, "Saya tengok ada grand design hendak meruntuhkan semua tiang-tiang seri negara oleh pihak tertentu (1) institusi raja (2) agama dan institusi masjid (3) Perlembagaan dan undang-undang negara, (4) polis dan pihak keselamatan negara (5) nilai kesopanan hormat menghormati antara kita (6) sejarah dan warisan bangsa (7) keharmonian kaum.
"Semua ini untuk menghuru-harakan negara semata-mata kerana rakus nak rampas takhta," tulis beliau yang turut menyifatkan demonstrasi pada Sabtu lalu seolah-olah mengulangi sejarah September 1998 apabila Masjid Negara menjadi tempat perkumpulan manusia yang kononnya memperjuangkan reformasi.
Oleh itu dalam isu PPSMI ini, orang Melayu seharusnya berfikiran terbuka dan tidak terpengaruh dengan emosi apatah lagi dakyah pembangkang.
Mungkin ketika ini mereka melihat apa yang dilakukan oleh pembangkang adalah betul dalam isu PPSMI, tetapi cuba mereka terutama orang Melayu yang berkumpul di Masjid Negara pada Sabtu lalu bertanya apa yang mereka lakukan apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan DAP menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu di papan tanda jalan di negeri itu.
Apakah mereka berkumpul di Masjid Negeri Pulau Pinang dan kemudian berarak ke kediaman Yang Dipertua Negeri untuk menyerah memorandum?
Apakah mereka menyerah sebarang bantahan kepada kerajaan negeri kerana berani melanggar apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan?
Tidakkah apa yang dilakukan oleh DAP itu lebih dahsyat daripada PPSMI yang jelas bertujuan hendak membantu meningkatkan pendidikan anak Melayu.
Jelaslah puak-puak yang berkumpul di Masjid Negara termasuk pemimpin pembangkang mengamalkan sikap double standard. Mereka hanya berani berhadapan dengan isu yang ada kaitan dengan kerajaan dan UMNO tetapi apabila ada isu berkaitan pakatan pembangkang terutamanya DAP, mereka hanya akan mendiamkan diri. Persoalannya adakah ini yang dikehendaki oleh Islam?
Kesudahannya yang akan mengaut keuntungan adalah pihak lain kerana orang Melayu dilemahkan dan dijatuhkan oleh orang Melayu sendiri.
Orang Melayu yang membiarkan institusi raja dihina apabila bersedia bermesyuarat di bawah pokok. Orang Melayu sanggup berbaring di jalan raya kerana kehilangan kuasa walaupun hanya menjadi boneka.
Dan orang Melayu yang 'paling berani' bertempur dengan anggota polis Melayu. Itulah orang Melayu selepas Mac 2008.
Persoalannya, adakah orang Melayu terutama di dalam Pas memikirkan grand design ini?
Atau mereka juga turut terpengaruh kerana tidak mahu 'ketinggalan kereta api' dalam merebut kekuasaan sehingga rela diperalatkan oleh PKR?
Sukar untuk dipastikan tetapi apa yang nyata, hari demi hari segala berkaitan dengan entiti orang Melayu semakin dilemahkan.
Mungkin juga PPSMI ada kelemahannya tetapi kenapa perlu orang Melayu hendak menyelesaikan masalah itu dengan turun ke jalanan, sedangkan dalam masa yang sama pihak lain hanya tersenyum melihat gelagat kebodohan kita?
Oleh itu sedarilah bahaya yang menanti orang Melayu. Jadikan isu PPSMI sebagai 'kejutan' kepada kita bahawa di sebalik apa yang dibantah, ada agenda lebih besar yang disembunyikan oleh pihak pembangkang.
Pas diharap menyedari agenda berkenaan jika mereka benar-benar memperjuangkan Islam demi kesejahteraan umat dan bukan hendak merebut kuasa semata-mata.

Petikan daripada : Utusan Online

Tak perlu mencari jalan berliku pertahan PPSMI

Dr Awang Sariyan Mon Mar 09, 09 10:24:34 pm MYT
Saya bersyukur akhirnya pernyataan hati nurani rakyat yang prihatin kepada kedudukan dan peranan dan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan dapat disembahkan kepada Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong.
Iklan




Saya menyertai ucap sembah menjunjung kasih seluruh pejuang bahasa kepada baginda atas keprihatinan baginda terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai salah satu pancang dan tunjang kenegaraan.
Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang berjaya merakyatkan dan memasyarakatkan perjuangan bahasa kebangsaan sehingga bangkit kesedaran massa tentang peranan bahasa Melayu sebagai salah asas pembinaan negara, sebagaimana yang diputuskan dan dilaksanakan sejak kemerdekaan.
Saya tidak berminat mengulas soal teknis tentang apa-apa yang berlaku dalam cara penyampaian memorandum perjuangan rakyat itu, kerana yang jauh lebih penting ialah memfokuskan perhatian kepada agenda negara dalam soal mempertahankan kedudukan dan peranan bahasa Melayu dalam pembangunan negara.
Asas paling utama bantahan pejuang bahasa dan mereka yang faham serta menghayati peruntukan dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu ialah bahawa kuasa eksekutif wajib menghormati keputusan badan Penggubal undang-undang, iaitu Parlimen.
Jelas bahawa pelaksanaan PPSMI bercanggah dan menyeleweng daripada undang-undang tentang bahasa Melayu yang telah dimaktubkan. Atas asas ini sahaja kerajaan tidak perlu mencari jalan panjang lagi berliku-liku untuk mencari kewajaran mempertahankan dan meneruskan PPSMI.
Apa-apa jua alasan dan hujah untuk mempertahankan dan meneruskan PPSMI dan dasar lain yang seumpama itu terbatal dengan sendirinya apabila kita menggunakan premis undang-undang negara tentang dasar bahasa kebangsaan.
Oleh itu, seruan Perdana Menteri supaya disegerakan keputusan yang wajar (pasti yang berdasarkan undang-undang negara) tentang PPSMI perlu dilaksanakan oleh badan eksekutif (jemaah menteri).
Polemik yang bersifat pinggiran seperti pencarian dalang di balik perhimpunan membantah PPSMI tidak memberikan faedah apa-apa pun jua, selain semata-mata menayangkan nafsu menjaga kuasa dan memusuhi golongan yang tidak sekelompok dengan pihak berkenaan.
Dapatkah orang yang sihat akalnya menerima tohmah bahawa tokoh seperti Dato' Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Dato' A Samad Said serta tokoh-tokoh lain yang sepanjang hayatnya tidak hidup atas kurniaan kontrak dan perniagaan sanggup didalangi oleh mana-mana pihak untuk ke hadapan dalam perjuangan menjaga martabat bahasa Melayu?
Yang dapat dibayangkan ialah bahawa kesungguhan hendak mempertahankan dan meneruskan PPSMI itu barangkali ada kaitannya dengan kepentingan agihan kontrak dan habuan yang telah dibuat dalam aspek prasarana pelaksanaan PPSMI. Wallahu a'lam.
Demikian juga, berkali-kali disebut bahawa mengapa sesudah enam tahun pelaksanaannya baru kini timbul penentangan dan hujah bahawa PPSMI menyalahi Perlembagaan dan Akta Pendidikan, seolah-olah pejuang bahasa sengaja menanti saat tertentu dengan niat tertentu untuk menjatuhkan orang yang merasakan dirinya begitu penting. Sahlah bahawa orang yang berhujah demikian sama ada baru bangkit daripada lena yang panjang atau diserang penyakit pelupa yang kronik.
Seawal pengumuman dasar PPSMI pada tahun 2002, individu dan badan-badan bukan kerajaan, dan bahkan parti politik tertentu atau bahagian dalam parti kepemimpinan kerajaan sendiri telah mengadakan seminar, konvensyen, forum, pertemuan dengan pemimpin pelbagai pihak, hatta kedua-dua orang Perdana Menteri, penyerahan memorandum dan hasil kajian empiris, penggunaan media cetak dan media elektronik.
Para pejuang bahasa dengan penuh adab dan kesantunan mencuba menggunakan saluran intelektual dan yang dikatakan "saluran betul" oleh pihak-pihak yang kononnya sangat beradab selama bertahun-tahun, tetapi tidak tampak reaksi yang meyakinkan daripada kerajaan, malah pernyataan demi pernyataan pihak berkuasa cenderung untuk meneruskan dasar yang bercanggah dengan undang-undang negara dan kepentingan negara itu.
Menteri Pelajaran yang ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan sendiri dan atas kapasitinya sebagai Ketua Pemuda Umno telah dikunjungi oleh pimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia di pejabatnya di Jalan Dato' Onn dan telah memperlihatkan keprihatinan pada waktu itu.
Pada hemat saya, kini bukan masanya untuk kita saling mendakwa tentang cara dan kenapa timbul bantahan, atau ada tidaknya dalang di balik bantahan terhadap PPSMI. Fikirkanlah asas proses pembinaan negara yang telah dirancang sejak awal, malah sebelum kemerdekaan, menurut acuan yang munasabah bagi negara kita. Salah satu asas itu ialah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan.
Marilah kita menjadi bangsa yang tahu menghormati warisan tamadun bangsa yang telah berakar teguh sejak berabad-abad lamanya. Manfaatkanlah apa-apa jua unsur daripada tamadun luar, termasuk penguasaan bahasa-bahasa asing, tetapi usahlah menjadi bangsa yang rakus akan kemajuan kebendaan sehingga kehilangan roh bangsa dan negara.
Bukalah mata kita seluas-luasnya bagaimana negara-negara maju di seluruh dunia yang tetap mengutamakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai wahana komunikasi dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun mereka, meskipun tidak meremehkan bahasa asing yang bermanfaat sebagai alat sokongan kemajuan negara mereka.
------
Prof Dr Awang Sariyan ialah Penyandang Kursi Pengajian Melayu�China Beijing Foreign Studies University _

Memorendum Ke istana Negara

HASSAN Ahmad (kanan) bersama penyokong GMP termasuk Sasterawan Negara Samad Said (dua dari kiri) berkumpul selepas dihalang oleh polis mengedar risalah Perhimpunan Raksasa 100 Ribu Mansuh PPSMI di Kuala Lumpur, semalam


Sabtu. 7 Mac 2009

GPM bersama-sama rakyat yang menyokong berjalan menuju ke Istana Negara.



KUALA LUMPUR 31 Jan. - Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) menggesa kerajaan membatalkan dasar itu bagi menyelamatkan pelajar di luar bandar yang masih tidak dapat menguasai sepenuhnya bahasa tersebut.
Pengerusi GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad mendakwa, pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (PPSMI) banyak menimbulkan masalah daripada kebaikan.
"Dasar ini tidak munasabah malah menyebabkan beratus ribu murid di luar bandar gagal menguasai subjek tersebut.
''Bukan sahaja kepada pelajar Melayu bahkan kaum lain juga terasa tempiasnya. Mahu suruh pelajar belajar dalam bahasa yang 90 peratus daripada mereka tidak faham. Bagaimana mahu berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran GMP di sini hari ini.
Hassan menambah, PPSMI adalah satu dasar dan keputusan yang salah dilakukan oleh kerajaan.
"Lebih 30 tahun kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan, tiada apa masalah yang timbul.
''Malah pelajar kita dari pelbagai kaum belajar dalam bahasa Melayu juga boleh berjaya menjadi ahli sains, pakar perubatan dan macam-macam lagi," jelasnya.
Ditanya sama ada gerakan tersebut mempunyai motif politik untuk menolak PPSMI, Hassan menafikannya.
"Gerakan ini ditubuhkan untuk meminta kerajaan mengembalikan subjek tersebut dalam bahasa Melayu.
''Semua yang terlibat merupakan pejuang bahasa, ia tiada kena mengena dengan politik, perkauman dan sebagainya.
''Bagaimanapun UMNO Johor telah menunjukkan minat terhadap gerakan ini," jelasnya.
Sementara itu, Hassan memberitahu, GMP akan mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara pada 7 Mac depan bagi menyerahkan memorandum memansuhkan PPSMI.
"Kita jangka lebih 100,000 orang akan menyertai perhimpunan tersebut,'' katanya.
Menurut beliau, GMP mahu suara rakyat mengenai bantahan PPSMI dapat disampaikan ke peringkat atasan.

Thursday, February 19, 2009

PPSMI dilaksanakan secara tergesa-gesa

Dr Syamsul melalui kenyataan di Buletin Utama TV3 menyatakan kepada media tersebut bahawa perlaksanaan PPSMI ini ibarat pembedahan yang telah dilakukan tetapi gunting tertinggal dalam tubuh pesakit. Nasi sudah menjadi bubur. Telan mati emak luah mati ayah. Perkara ini juga dijangkan akan menjadi kesan politik negatif

Gapena Membuat Laporan Polis

Gapena telah membuat laporan terhadap Menteri Pelajaran dan Kementerian terbabit yang mendakwa bahawa pelaksanaan PPSMI telah mercanggah dengan perlembagaan Negara Malaysia